9.6.17

Kisah bendera dan bulan kemerdekaan


SELEPAS menikmati juadah Buras dan Soto Banjar di sebuah gerai di Jalan Dam, saya mengambil kesempatan pada tengah hari kelmarin untuk berbual dengan pengunjung gerai itu.

Sebilangan daripada mereka saya cam sebagai pengunjung biasa di situ dan pernah beberapa kali duduk semeja dan berkongsi cerita.

Mereka peramah, tidak sombong dan begitulah budaya orang kita. Sasaranku hari ini adalah untuk bertanyakah tentang Jalur Gemilang dan Bulan Kemerdekaan.

Saya mahu bertanyakan: Apa perasaan mereka apabila melihat bendera usang yang masih dipasang di hadapan sebuah premis di hadapan kami.

Alhamdulillah, berpeluang sekali lagi untuk saya menulis di ruangan ini dan Nota Wartawan saya kali ini saya begitu terpanggil untuk menulis tentang pengalaman yang tidak terduga semasa saya menyiapkan tugasan tinjauan pada beberapa hari lepas.

Kisahnya adalah tentang Jalur Gemilang.  Semua sudah maklum bahawa setiap kali menjelangnya Ogos dan September, amalan mengibarkan bendera diseru kerajaan bagi menyemarakkan lagi sambutan negara ini pada ulang tahun kemerdekaan Malaysia.

Mengibarkan Jalur Gemilang juga sebagai simbolik pada kecintaan kita kepada negara ini dan berbangga menjadi warganegara Malaysia yang telah berjaya bebas daripada kancah penjajahan asing.

Mengikut sejarahnya, pencipta Jalur Gemilang ialah Allahyarham Mohamed Hamzah pada 1947 ketika berusia 29 tahun dalam satu pertandingan merekacipta bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Pada zaman persekolahan dulu, seawal Tahun Satu, di tapak perhimpunan pada setiap Isnin, kita akan berkumpul dan telah menjadi acara wajib untuk menyanyikan lagu Negaraku, Sabah Tanah Airku dan kemudian lagu sekolah.

Begitu bersemangat dan megahnya terasa dapat beramai-ramai melakukannya, disertai juga upacara menaikkan bendera oleh rakan sekolah yang agak senior ketika itu.

Selain Isnin, tugasan menaikkan dan menurunkan bendera akan dilakukan seawal pagi selepas pejabat sekolah dibuka dan sepuluh minit sebelum waktu persekolahan tamat.

Rutin itu berterusan sehingga saya meninggalkan sekolah rendah dan ianya sudah pasti diteruskan oleh adik-adik lain yang bersekolah di sebuah sekolah ladang bernama SRK (M) Bombalai.

Namun apa yang tersemat hingga ke hari ini, saya secara automatik akan mengingati arahan guru sekolah saya setiap kali mendengar lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku.

Kata cikgu, perkara yang wajib kamu lakukan apabila mendengar lagu itu, atau dinyanyikan lagu itu perlulah berdiri tegak, kalau ada bendera, pandang bendera itu sehingga lagu tamat.

Kata cikgu lagi, bendera kebangsaan itu yang dinampak hanyalah kain tapi makna disebaliknya adalah, bendera merupakan maruah negara, perlu dipertahankan dari diperlakukan yang tidak baik seperti membakarnya, memijaknya, meludahnya dan lain-lain.

Kata-kata cikgu itu menyusup masuk ke minda saya dan akan kekal dalam ingatan.

"Tapi orang gantung bendera sekarang untuk suka-suka. Kamu lihat saja di kedai itu, susunan bendera sudahlah salah, dibiarkan lagi sampai usang, pudar," saya berkata menyatakan rasa tidak puas hati dengan keadaan bendera yang diperlakukan sedemikian.

"Saya rasa malu tengok bendera itu.  Mereka tidak malukah buat begitu?," kata A.

"Apa yang mereka mahu malukan, mungkin tidak perasan bendera itu jadi begitu," kata B.

"Mustahil. Setiap hari sebelum buka kedai pasti tengok bendera itu," kata C.

"Jadi siapa yang berani tegur," saya tanya.

A, B, dan C berdiam kemudian menyambung cerita topik lain.

Selepas itu, perhatian saya beralih kepada kumpulan pelanggan yang baru tiba di hujung meja saya.

Kumpulan dua orang itu mesra menjawab salam perkenalanku dan agak keberatan mulanya mahu menjawab pertanyaanku tentang Jalur Gemilang.

Rupanya mereka warga Filipina dan Indonesia, bekerja di sini sebagai buruh dan tidak tahu bahawa Jalur Gemilang itu bendera Malaysia.

"Kalau di Indonesia, bendera tidak boleh dikibar begitu, pemerintah malah kepala desa marah, kita bisa dibawa ke kantor polisi," kata D.

("Kalau di Indonesia, bendera tidak boleh dikibarkan sebegitu, kerajaan marah malah ketua kampung akan marah dan boleh dibawa ke balai polis," kata D).

"Di Filipina pun begitu, itu kesalahan yang susah dimaafkan.  Sejak kecil kami diajar untuk hormat bendera," kata E.

p/s: Nota Wartawan ini saya hasilkan pada 8 Ogos 2015 untuk terbitan rungan Nota Wartawan Utusan Borneo.



Share:

0 komen:

Post a Comment