Setiap kali menjelangnya Syawal, saya pasti teringatkan kisah sepasang kasutku di zaman kanak-kanak dulu. Kasut itu saya namakannya Kasut Emas Syawal kerana ia merupakan sepasang kasut yang mempunyai mempunyai makna yang tersendiri. Ianya suatu kisah yang tidak akan saya lupakan dan membentuk saya menjadi seorang yang begitu prihatin tentang kasut!
Kasut itu berwarna merah jambu, ada reben juga berwana merah jambu dan tentunya bagiku itulah kasut yang paling cantik dan begitu saya banggakan. Rakan-rakan saya juga mengakui kasut itu memang cantik.
Saya menjaganya dengan rapi dan untuk pastikan ianya tahan lama, bapaku telah menjahit di bahagian tepi kasut itu supaya tapaknya tahan lama untuk dipakai beberapa kali Hari raya.
Bapaku sememangnya seorang yang kreatif kalau dalam hal menjaga ketahanan kasut kerana kasutnya bukan sahaja dijahit seperti kasutku, malah akan dipasang apa sahaja asalkan di bahagian tapaknya supaya kasut dapat bertahan lama.
Pada suatu ketika, saya memandang tajam sepasang kasut yang sudah beberapa kali Hari Raya dipakai. Kasut itu sudah lama, warnanya lusuh dan agak sempit dikaki.
Jadi saya memasang impian betapa indahnya Hari raya kali ini kalau ada sepasang kasut baharu. Jadi untuk mendapatkannya, saya perlu lebih kuat membantu kerja-kerja ibu bapa dan mahu menjadi anak yang paling baik, rajin, tidak banyak mengeluh.
Mulai dari saat itu, saya mengerjakan apa sahaja bentuk suruhan dan permintaan orang tua meskipun ianya suatu pekerjaan yang berat untuk dikerjakan, kalau diikutkan hati saya mahu memberontak kerana ianya pekerjaan yang paling malas untuk dipenuhi.
Parut kelapa... ya pekerjaan itulah bagiku tidak adil untuk dikerjakan kerana ianya bukan sahaja susah (sebab guna cara manual) malah setiap kali melakukannya pasti jari-jari akan luka. Bukan itu sahaja, jumlahnya yang banyak sehingga dua hingga tiga besen besar untuk diparut sememangnya akan memakan masa yang panjang.
Tapi demi impianku, kugagahi juga tenaga dan ianya demi membantu mak menyiapkan juadah ayam masak lengkuas, buat buras, tumbuk dan juga kerisik ikan.
Sebenarnya jauh dibenak hati ketika itu, saya berharap agar mak tahu keadaan kasut rayaku yang sudah koyak dan lusuh itu.
Masa itu hidup kami terlalu susah, saya dan keluarga tinggal di ladang getah dan kami digelar orang ladang yang hanya berpendapatan sekadar cukup makan.
Tidak sanggup rasanya mahu meminta-minta sebab ianya bukan amalan kami adik-beradik... terlalu berat untuk diungkapkan kerana kami sudah tahu betapa susahnya orang tua kami mencari duit.
Akhirnya aku pasrah biarlah buruk asalkan boleh pakai lagi.
Di tahun lain hari raya, dilema yang sama berlaku.
Sedihku hanya mampu dibawa dengan berdiam, sambil parut kelapa, saya berangan kasut baharu, sampailah satu ketikanya saya teresak-esak sendirian memarut kelapa.
Rupanya bapa perasan, lalu dia bertanya raya ini apa kemahuanku.
Saya tidak tahu, ketika itu saya perlu sambung nangis atau perlu paksa diri untuk senyum.
Rupanya bila bapa menyambung kata-katanya, saya tergamam pilu lalu menyambung tangisan.
"Bapa masih ada selipar lama utk dipakai, nah ko ambil duit ni ikut mak mu pi Tanjong esok beli kasut."
Alhamdulillah, kisah ini masih saya ingat hingga ke saat ini dan saya bersyukur masih boleh membelikan bapa dan mak saya sepasang kasut.
Saya bersyukur masa lalu yang perit untuk dilalui telah mendidik saya menjadi lebih menghargai orang tua.
Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin daripada saya.
p/s: Nota Wartawan ini saya hasilkan pada 30 Julai 2016 untuk terbitan rungan Nota Wartawan Utusan Borneo.







0 komen:
Post a Comment