9.6.17

Palembang kota pelancongan sejarah


Palembang merupakan kota tertua di Indonesia, menjadi kota kedua terbesar di Sumatera selepas Medan.

Palembang dikenali di Barat sebagai Venice of the East kerana mempunyai banyak persamaan dan pada 2005 pula, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengangkat kota ini menjadi Kota Pelancongan Air.

Memiliki keluasan wilayah 358,55 kilometer persegi yang dihuni 1.7 juta orang dengan kepadatan penduduk 4.800 per kilometer persegi, Palembang berkembang maju dalam sektor pelancongan terutamanya di kalangan pencinta sejarah.

Palembang mendapat nama dari Pa atau Pe sebagai kata tunjuk suatu tempat atau keadaan; manakala lembang atau lembeng artinya tanah yang rendah, dan menurut bahasa Melayu-Palembang, lembang atau lembeng adalah genangan air. Jadi Palembang adalah suatu tempat yang digenangi air.

Destinasi yang dapat menceritakan sejarah Palembang atau Sriwijaya adalah Sungai Musi yang menggenangi hampir keseluruhan kota ini.

Sungai Musi yang sepanjang 750 kilometer memisahkan kawasan hulu di bahagian Barat dan hilir bahagian selatan Palembang dan dimanfaatkan penduduk setempat untuk tujuan perhubungan.

Sungai Musi disebut juga Batanghari Sembilan yang bererti sembilan sungai besar sempena jumlah sungai yang ada telah digunakan pedagang dari luar kota termasuk dari Arab, China, India sejak zaman Kerajaan Sriwijaya hingga sekarang.

Menyusuri Sungai Musi, rombongan 28 peserta Fam Trip Travel Agent-Media Sabah melihat pelbagai ragam penduduk di sepanjang sungai itu menjalankan aktiviti harian mereka.

Untuk mengetahui siapakah warga kota itu, di Sungai Musi anda boleh menyaksikan asimilasi budaya dan tradisi penduduknya dengan mengunjungi antaranya Kampung Kapitan dan Kampung Al-Munawar.

Kedua-dua kampung tersebut diasaskan oleh penduduk dari China dan Arab yang datang ke Palembang untuk berurusniaga sejak kurun ke-7 lagi.

Kampung Al-Munawar yang terletak kawasan 13 Ulu, di tepian Sungai Musi dan Sungai Ketemenggungan merupakan komuniti keturunan Arab yang pertama di Palembang.

Nama kampung ini diambil bersempena ketokohan Habib Abdurrahman Al Munawar, seorang penyebar agama Islam di Palembang yang dihormati.

Di sini, ada lapan rumah berusia lebih 250 tahun dan di sini rumah mereka dibina dengan menerapkan senibina Arab-Parsi dan tempatan yang menarik dan unik.

Ada sesuatu yang menarik untuk diketahui mengenai penduduknya iaitu anak perempuan keturunan Arab di sini tidak boleh mengahwini orang lain sebaliknya hanya orang Arab di situ sahaja manakala lelakinya dibolehkan.

Di Kampung Kapitan pula, senibina rumahnya ada yang berusia kira-kira 400 tahun iaitu rumah yang dimiliki Kapitan Tjoa Ham Him.

Rumah Abu Kampung Kapitan, replika nisan leluhur keturunan asli Tionghua boleh dilihat dan upacara sembahyang boleh dilakukan di sini.

Pulau Kemaro yang terletak kira-kira enam kilometer dari pelabuhan juga menyimpan lagenda cinta sejati sehidup semati ala Romeo dan Juliet.

Kisahnya seorang puteri raja bernama Siti Fatimah disunting oleh seorang bangsawan Cina bernama Tan Bun An.

Setelah mendapat restu daripada keluarga Tan Bun An di China, mereka dihadiahkan tujuh tempayan dan akhirnya kembali ke Palembang dengan melewati Sungai Musi.

Di satu tempat di Sungai Musi, Tan Bun An membuka tempayan hadiah orang tuanya namun didapati semua tempayan itu berisi sayur-sayuran yang sudah busuk lalu dibuangnya satu persatu dengan perasaan marah dan kecewa.

Namun, tempayan terakhir yang hendak dibuang Tan Bun An telah pecah lalu didapatinya ada emas disebalik sayur-sayur busuk itu lalu beliau terus terjun ke dalam sungai mencari tempayan yang sebenarnya berisi emas.

Menyedari Tan Bun An tidak muncul, Siti Fatimah bertindak untuk terjun juga untuk mencari suaminya namun malangnya mereka tidak muncul ke permukaan.

Bersempena lagenda itu, Pulau Kemaro juga dikenali Pulau Jodoh dan ini diindahkan lagi dengan adanya pohon yang disebut sebagai "Pohon Cinta" yang dilambangkan sebagai "Cinta Sejati" antara pasangan.

Jika ada pasangan yang mengukir nama mereka di pohon tersebut maka hubungan mereka akan sampai ke jinjang pernikahan namun pohon itu telahpun dipagar bagi menghalang aktiviti vandalisme yang dikhuatiri merosakkan pohon itu.

Di Pulau Kemaro ini juga terdapat pagoda sembilan tingkat, Tokong Hok Tjing Rio atau lebih dikenali Kuan Im yang dibina 1962 dan makan pasangan Tan Bun An dan Siti Fatimah.

Sebagai kota tertua di Indonesia yang memiliki sejarah panjang, Palembang memiliki berbagai benda peninggalan bersejarah.

Untuk menjaga dan melestarikannya, Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Sumatera Selatan membangun Muzium Balaputera Dewa di Jalan Srijaya I No 28, Palembang.

Muzium ini diambil sempena nama seorang raja dari Kerajaan Sriwijaya yang memerintah pada abad kelapan hingga sembilan di zaman pemerintahan beliaulah Kerajaan Sriwijaya mencapai puncak kejayaannya sebagai sebuah kerajaan maritim yang berkuasa hampir di seluruh nusantara hingga Thailand, India, Filipina dan China.

Di Muzium Balaputera Dewa disimpan berbagai koleksi dari zaman pra-sejarah, zaman Kerajaan Sriwijaya, zaman Kesultanan Palembang hingga ke zaman kolonialisme Belanda.

Berbagai koleksi tersebut dipamerkan di dalam tiga ruang pamer utama. Sebelum memasuki tiga ruang pamer utama, pengunjung akan menyaksikan berbagai koleksi arca di sepanjang ruang yang disediakan.

Masuk lebih ke dalam, pengunjung akan di bawa menelusuri zaman Kesultanan Palembang.

Benda-benda peninggalan zaman ini berupa alat tenun songket.

Salah satu koleksi kain songket yang menjadi kebanggaan Muzium Balaputera Dewa adalah kain songket dengan motif Naga Besaung yang memiliki panjang enam meter dengan lebar sekitar 25 cm.

Juga ditemuka di muzium ini ialah ruang pameran Kerajaan Kesultanan Melaka yang diwujudkan pada 2011 hasil kerjasama kedua-dua kerajaan negeri untuk mengangkat sejarah ketamadunan kerajaan dan salingkait sejarahnya.

Rumah Limas yang menjadi gambar objek terpilih menhiasi wang kertas Rupiah 100,000 juga boleh ditemukan di belakang muzium ini.

Di ruang dalam rumah itu terdapat pelagai perabot lama yang asli tetapi terawat rapi seperti peralatan pernikahan, bilik pengantin, alat solek dan lain-lain.

Lebih menarik lagi, kakitangan muzium yang profesional akan sentiasa membawa dan memberi penerangan pada setiap bahan pameran demi memastikan sejarah sentiasa diingati tanpa sempadan ruang dan waktu demi kemajuan generasi demi generasi.

Palembang atau Sriwijaya sememangnya amat rapat dengan sejarah Kesultanan Melayu kerana asal usul keturunan Parameswara bermula di Bukit Siguntang.

Namun hajat ke Bukit Siguntang untuk bertemu penjaga makam yang menyimpan kisah dari Sejarah Melayu tulisan Tun Sri Lanang terpaksa disimpan kerana kunjungan kami dibatasi cuaca dan masa.

Sebelum mengakhiri lawatan kami di Palembang, waktu santai kami diisi dengan menikmati pemandangan senja dan bersantai di tepian Sungai Musi dihiasi Jambatan Ampera yang menjadi ikon utama Palembang.








Share:

0 komen:

Post a Comment