KUMPULAN sasaran belia bagi kategori Belia Berisiko memerlukan kerjasama semua pihak untuk diselamatkan bukan sahaja di Lahad Datu malah seluruh Malaysia.
Saya tertarik membicarakan hal ini dalam Nota Wartawan saya kali ini setelah memenuhi jemputan Majlis Santai dan Makan Malam anjuran Gabungan Persatuan Belia Silam yang meraikan kumpulan Majlis Belia Malaysia (MBM) baru-baru ini.
Pada majlis itu, saya bertemu dengan rakan-rakan pemimpin MBM yang baharu. Ada dikalangan mereka sudah biasa dengan belia-belia di Lahad Datu kerana mereka dulu pernah menyertai misi kemanusiaan Tragedi Pencerobohan Militan Sulu di Tanduo pada 2013 lalu. Jadi, tiada batasan untuk berkomunikasi secara santai.
Setelah sesi ucapan, barulah saya tahu bahawasanya MBM telah masuk "kawasan" tanpa pengetahuan media. Mereka baru sahaja selesai melaksanakan program Jelajah Seminar 1 Belia 1 Kemahiran di beberapa sekolah di Lahad Datu.
Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparuddin Yusuf saya temui dan bertanyakan khabar dan perkembangan terbaru MBM.
Kemudian dia berkata melalui Jelajah Seminar 1 Belia 1 Kemahiran yang diadakan beliau dan rakan-rakan MBM turut membuat kajian tentang permasalahan dan keperluan belia di sini.
"Daripada maklumat yang kami perolehi, responder kami menyatakan bilangan pelajar yang tidak dapat melanjutkan pengajian atau dengan ertikata lain, golongan ini nantinya akan menganggur akan menunggu masa "matang" untuk kahwin."
"Sebanyak 80 peratus belia yang telah menamatkan Sijil Peperiksaan Malaysia tidak mempunyai hala tuju dan kerjaya masa depan manakala selebihnya samada berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi kerajaan dan swasta ataupun latar belakang keluarga yang berniaga," katanya.
Saya kemudian bertanya, apa yang akan MBM lakukan setidaknya mengubah angka peratusan itu kerana bagi saya istilah belia berisiko itu seakan lebih dekat keberangkalian mereka akan melakukan jenayah.
Saparuddin menjelaskan MBM empat matlamat yang mempunyai empat konsep dan dalam konsep kedua terdapat lapan kumpulan sasaran belia termasuk Belia Berisiko, belia bersekolah, belia pengajian tinggi, belia massa, belia Malaysia Antarabangsa dan belia minoriti dan golongan terpinggir.
Konsep kedua ialah Holistik dan berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara akan menyerlahkan bakat dan potensi modal insan belia agar berkeupayaan menyumbang di semua peringkat kehidupan sehingga ke peringkat antarabangsa menerusi jaringan kerjasama strategik pemegang taruh berdasarkan pendidikan dan latihan kemahiran, kenegaraan dan jati diri, gaya hidup sihat dan sejahtera, kepimpinan, kesukarelawanan dan masyarakat sivil, keusahawanan, penyelidikan dan inovasi, profesionalisme kerja belia dan pengikhtirafan.
Apabila beliau menjelaskan hal ini, saya menjadi "blur" lantas menarik perhatiannya untuk satu penjelasan yang menjawab soalan.
Saya bertanyakan apakah maksud Belia Berisiko.
Saparuddin memberitahu belia pesakit muda atau bakal pesakit muda, tercicir daripada sistem persekolahan, tidak berkerjaya, mangsa dera, bekas banduan, anak banduan, muflis, bakal muflis, bekas muflis, perokok, peminum arak, penagih dadah, bekas penagih dadah, pelumba haram, kecelaruan identiti, penyeludup dan belia di sempadan.
Mendengar contohnya saja, saya mula gusar dan menurutnya, itulah yang dia tekankan bahawasanya belia di sini dan di seluruh Malaysia perlu diselamatkan bukan sahaja MBM malah ianya tugas dan tanggungjawab semua pihak.
Saparuddin kemudian menarik perhatian untuk berkongsi kisah hidupnya dan bagaimana dia berupaya keluar dari kelompok Belia Berisiko.
Beliau yang berasal dari Kunak mengakui nasib dirinya sendiri tidak akan berubah sekiranya dia hanya duduk di bawah tempurung, dia perlu keluar dan berhijrah. Untuk berhijrah, dia perlu memperlengkapkan diri bersiapsaga menerima apa sahaja cabaran hidup.
"Hanya satu yang perlu diingat, pesan orang tua jangan sesekali dipandang remeh apatah lagi ianya berkaitan dengan masa depan. Selain itu jangan pernah abaikan tanggungjawab kepada Allah kerana itu asas kejayaan kita," katanya.
Pesan orang tuanya...
Belajarlah baik-baik nak, kalau pandai kamu akan senang.
Rupanya selepas mengambil keputusan untuk belajar dan menghijrahkan diri dan kerjayanya, beliau mula memahami erti berpersatuan, erti bersatu dalam menentukan hala tuju diri dan kelompok belia dan akhirnya dia mengambil keputusan menjawat jawatan yang disandangnya sekarang demi membantu belia kecil di luar bandar untuk mempunyai pemikiran di luar kotak kebiasaan.
p/s: Nota Wartawan ini saya hasilkan pada 29 Januari 2016 untuk terbitan rungan Nota Wartawan Utusan Borneo.







0 komen:
Post a Comment