9.6.17

Sekali wartawan selamanya jadi wartawan


HIDUP ini tentang peluang dan bagaimana kita mengusahakannya. Berjaya atau belajar dari kegagalan adalah intipati sebuah perjuangan yang di suatu hari nantinya akan dikenang sebagai sejarah hidup kita. Itu yang aku pelajari sepanjang aku menjadi wartawan menjadi peniaga dan
bloggers dan kemudiannya menjadi wartawan semula.

Aku antara wartawan yang paling baru di Utusan Borneo. Memulakan kerjayaku Januari 2013, tidak mempunyai latar pendidikan formal dalam kewartawanan melainkan keinginan yang tinggi untuk mencuba, mahu belajar dan terus belajar dalam persekitaran kerja yang tidak sama setiap hari.



Insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu yang bermula Februari 2013 memberi satu cabaran getir untuk aku lalui, samalah juga dengan rentetan peristiwa ketika aku memulakan langkah menceburi kerjaya ini Disember 1996 di Papar dengan kejadian Ribut Greg di Keningau. Bukan dirancang tapi ianya satu kebetulan dan aku ambilnya sebagai satu peluang dan cabaran untuk belajar.

Aku bariskan nama mentor yang banyak membantu aku mencintai kerjaya ini. Orang pertama adalah guru Bahasa Malaysia di zaman sekolahku, Cikgu Kamisah yang memiliki kelulusan Ijazah Komunikasi Massa dan antara kata-kata yang menyemarakkan minatku adalah wartawan satu kerjaya perjuangan hidup yang tidak ada nokhtahnya yang bekerja siang malam atas prinsip hidup yang jelas, mendedah kebenaran. Bunyinya menarik dan aku begitu tertarik untuk menjalaninya.

GM Emin Madi (GM adalah General Manager, gelaran pangkatnya di Harian Mercu) adalah orang kedua yang membantu aku merealisasikan cita-citaku. Dalam Kursus Asas Kewartawan yang dikendalikannya di Papar, beliau ada menyebut membuat berita umpama meletakkan diri kita sebagai seorang pembaca berita kita pada esok hari. Maknanya, apa yang mahu ditulis perlu menjawab pertanyaan demi pertanyaan yang berlegar di minda pembaca mengikut format siapa, bila, di mana, bagaimana, mengapa (WH Questions).

Di Harian Mercu aku mengenali wartawan berpengalaman dan merekalah yang mengasah penulisanku hari demi hari tanpa mengira masa dan keadaan. Agoes Kholil, Lokman Sunggim, Salbiah Japrin, Sailah Durasit, arwah Kamaruddin Liusin, Yatim Taubatal Andam, Laupa Junus dan rakan seperjuangan Haslin Ghafur, Edmund Samunting, Rayner Majantim, Zulhayati Zulkifli, Dayang Mastura Pangeran Baharuddin, Raimeh Siting, Sabturiah, Normah Bitong, Zakariah, Zakariah Damit dan semua kakitangan Harian Mercu yang diketuai Datuk Raya Erom. Alhamdulillah ilmu yang aku timba dari dua peristiwa itu mengasah aku menjadi wartawan merentasi dua versi iaitu 90-an dan kini 2013.

Mengutip pengalaman terbaru dalam krisis pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu aku membawa misi penulisan meredakan keadaan, bukan mengusutkannya atau membenarkan khabar angin melainkan yang sahih dari sudut pemberitaan. Setiap detik sepanjang berada di kawasan panas itu dipenuhi dengan maklumat yang seakan melalui satu hari yang panjang dengan perjalanan yang semuanya mempunyai nilai berita. Saban hari, kekangan "deadline" sahaja yang akan menamatkan tugasan di sana dan aku akui aku derita menanggung beratnya otak menanggung persoalan demi persoalan, kejutan demi kejutan juga sebaknya ketika menerima berita gugurnya wira negara.

Di Semporna, aku lalui hari yang sebelum ini hanya wujud dalam filem aksi perang. Di sana juga aku melihat mayat wira negara, dikebumikan, diratapi keluarga, ditangisi anak-anak dalam usia yang masih belum faham apa yang telah berlaku kepada bapa mereka. Bandar Semporna seakan berada dalam filem The Zombie, sunyi, menakutkan, tiada gerakan manusia seawal jam 7 malam. Siang malam ada saja operasi pasukan keselamatan yang disertai untuk membuat liputan menjejak pengganas di seluruh pelusuk kampung. Itu pengalaman yang ketika melaluinya terasa pahit namun ketika aku menulis nota ini aku merasai manisnya pengalaman itu.

Memulakan sesuatu merupakan satu detik getir dan pahit dalam hidup, ada yang mengalah namun yang meneruskannya akan merasai manisnya kepuasan bekerja dan ada cerita kejayaan yang dicapai dalam Press Award. Samalah dengan apa yang aku hajati bila aku menghantar resume ke Utusan Borneo tapi aku kini mengutamakan kepuasan dalam menulis. Menulis itu satu kepuasan yang tidak terungkap dengan kata-kata.

Terima kasih ibu dan bapa dan keluargaku yang senantiasa memahami minatku, rakan-rakan seperjuangan dulu dan sekarang, rakan-rakan Tawau Blogger kerana kalianlah yang membawa aku menjadi bloggers Puadede.com dan wartawan di Utusan Borneo.

p/s: Nota Wartawan ini saya hasilkan pada 1 Jun 2013 untuk terbitan rungan Nota Wartawan.





Share:

0 komen:

Post a Comment