9.6.17

Cita-citaku menjadi wartawan?


“APA yang kamu akan lakukan sekiranya anda bukan lagi wartawan?” Soalku kepada seorang rakan. Dia berdiam agaknya berfikir.

“Saya tidak tahu sebab inilah bidang kerja yang saya mahu buat dan kalau saya bukan lagi wartawan, biarlah pada umur pencen,” jawabnya.

Kenapa?

“Sebab saya tidak ada kemahiran lain melainkan menjadi wartawan,”.

Dari perbualan singkat ini membuat saya berfikir tentang nasib dan masa depan kami. Apa akan terjadi tahun depan dan seterusnya dan apakah minat melakukan kerjaya ini bertahan sehingga usia lanjut kami.

Assalamualaikum, salam sejahtera pembaca ruangan Nota Wartawan Utusan Borneo. Minggu ini giliran saya untuk berkongsi sesuatu kepada anda dan syukur, dalam kesempatan ini idea dan semangat saya untuk menulis masih begitu tebal.

Pada bahagian intro saya ingin menarik pembaca untuk menyelami dilema seorang wartawan yang bagi saya merupakan persoalan yang mungkin setiap wartawan terfikir atau ditanya. Dilema ini berkisar tentang minat dan kelangsungan hidup serta realiti yang ada.

Persoalan yang wujud … antara kerjaya dan wang, antara kerjaya dan rumahtangga, antara kerjaya dan hasrat keluarga yang belum tercapai, antara kerjaya dan pelbagai keinginan yang belum dikecapi…

Pernah seorang rakan kerja lama mengatakan menjadi wartawan ini perlu banyak berkorban, mahu pilih teman hidup biarlah di kalangan mereka yang benar-benar memahami kerjaya kamu dan juga bersedia berkorban dan kecewa kerana pembahagian masa yang tidak menentu.

Saya rasa hal ini ada kebenarannya kerana hanya mereka yang bertuah mendapat pasangan yang benar-benar memahami budaya kerja wartawan dan saya ingin rakamkan tahniah kerana mampu bertahan dengan pasangan seorang wartawan.

Ingatan saya kini tertumpu pada pengalaman hidup seorang kakak yang berada dalam bidang ini sejak perawan, sumandak bibiran aku gelarkan kerana dia mengelola sebuah ruangan khas dengan nama itu. Saya pernah bertanyakan sekiranya masa boleh diulang semula, pasangan yang seperti apakah yang menjadi pilihannya. Sumandak bibiran menjawab, pastinya bukan si abang (yang juga pengamal media) kerana kami betul-betul kekurangan masa untuk anak-anak, lebih tepat lagi bilangan anak yang ramai.

Tapi hari ini, sumandak bibiran hidup bahagia dengan kejayaan anak-anaknya, mampu layak melanjutkan pengajian di universiti dan berkerjaya profesional dan ada juga begitu ghairah dengan keinginan untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional.

Pasangan sumandak bibiran tidak lagi bekerja dalam bidang kewartawanan sebaliknya suaminya mempunyai syarikat kontrak sendiri manakala sumandak bibiran berkerja mengikut kemahuannya yang tidak ada ikatan masa dan bekerja dari rumah sahaja.  Katanya ini lebih baik kerana kualiti dan kuantiti masanya dapat ditumpukan demi keluarga. Usia mereka? Belum mencapai usia pencen.

Bagi saya, wartawan itu kerjaya seumur hidup kerana sekali menjadi wartawan akan kekal sifat kewartawanan itu dalam diri di mana pun anda berada, dalam situasi apa pun. Jawapan pada persoalan “siapa, di mana, bagaimana, berapa, bila” tetap akan menjadi keutamaan untuk diketahui samada ketika memandu dan terlihat kejadian kemalangan, sedang berurusan di kaunter jabatan kerajaan dan berasa  tidak puas hati dan sebagainya.

Saya dan mungkin rakan wartawan lain menyimpan cita-cita menjadi wartawan sejak di bangku sekolah lagi.  Setelah berada dalam kerjaya ini dan menerima hakikat kerjaya ini yang tidak menjanjikan gaji yang amat lumayan dan berpadanan dengan apa yang dilakukan, tahap stress yang mampu menggugat kesihatan, mendedahkan diri dengan situasi berbahaya di kawasan liputan beresiko, tiada masa untuk window shopping di hujung minggu sebab tuntutan tugasan dan sebagainya lagi antara nilai pengorbanan yang tidak akan dijadikan berita untuk diterbitkan.

Anda kini tahu dilema ini…

“Kawan, kenapa masih menjadi wartawan sedangkan banyak pilihan kerjaya yang ada?”

“Aku mahu jawab itu dengan sebuah lagu…”

Demi negara yang tercinta
Di curahkan bakti penuh setia
Demi raja yang disanjung tinggi
Kesetiaan tak berbelah bagi

Kepada pemimpin kepada rakyat
Khidmat diberi penuh taat
Sama bekerja sama berusaha
Setia berkhidmat untuk semua

Rela berkorban apa saja
Amanah bangsa tetap dijaga
Kami berikrar penuh setia
Untuk agama, bangsa dan negara

p/s: Nota Wartawan ini saya hasilkan pada 3 Julai 2015 untuk terbitan rungan Nota Wartawan Utusan Borneo.


Share:

0 komen:

Post a Comment