Doktor Zarina Shaik Mohamed Daud, 45, ibu kepada tiga orang anak merupakan wanita istimewa kelahiran Pulau Pinang yang mendedikasikan hidupnya demi membantu golongan wanita di luar bandar khususnya di Tungku, Lahad Datu.
Memilih untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan ilmu perubatan yang ada, beliau meninggalkan kehidupan moden serba lengkap di kota raya semata-mata untuk memberi inspirasi perubahan kepada kemajuan orang kampung.
Lagipun, menurutnya dia mahu menjalani hidup sederhana sebagai orang kampung yang rapat dengan alam sekitar yang akan memulakan hidup seawal keheningan sejuk pagi bila terbitnya matahari dan pulang ke pangkuan keluarga sebelum terbenamnya matahari serta dapat menikmati kilauan bintang dan indahnya bulan di malam hari.
Citra Hawa berkesempatan menebual Dr Zarina selepas Soft Opening restoran miliknya di Perdana Square, Lahad Datu, kelmarin.
"Saya membesar dalam sebuah keluarga yang mempunyai latar belakang kedoktoran, ayah dan ibu saya seorang doktor malah turut mempunyai suami seorang doktor dan bakal mempunyai anak juga seorang doktor.
"Mungkin saya sudah biasa dalam dunia kedoktoran sejak kecil dan sebab itu saya melihat faktor kebahagiaan itu salah satunya adalah dengan mempunyai kesihatan yang baik.
"Sebab itulah saya mempunyai semangat luar biasa untuk berada dekat dengan orang kampung agar dapat berkhidmat kepada orang kampung khususnya kaum wanita," katanya.
Menurutnya, beliau dan suami telah berhijrah ke daerah Tungku pada tahun 2009 dan dengan mengambil-alih Klinik Ruslan Bandar Cenderawasih di Felda Sahabat seterusnya membuka Klinik Zarina di Kg Sri Hak, Tungku.
Pengalamannya berkhidmat dalam pasukan perubatan semasa tercetusnya insiden pencerobohan militan Sulu di Tanduo juga telah mendorong Dr. Zarina untuk tidak berganjak dari Lahad Datu meskipun ianya memberi ujian dan pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.
"Saya telah jatuh cinta dengan daerah ini dan sebab itu saya tidak mahu berganjak dari sini meskipun ketika itu kawasan ini menjadi medan perang yang boleh meragut nyawa saya.
"Namun bagi saya, siapa lagi yang mahu membantu orang-orang di sini selain saya yang tahu keadaan di sini... saya kenal orang kampung, saya kenal kakitangan Felda Sahabat malah kanak-kanak yang ada di Felda Sahabat ini," katanya yang berkhidmat di dewan-dewan penempatan mengubati pesakit tanpa mengira masa.
Selepas tragedi Tanduo berakhir, Dr. Zarina terus melaksanakan tanggungjawabnya dengan turut terlibat dalam pasukan bantuan memulihkan trauma orang-orang kampung terutama di kawasan gugusan perkampungan Tanjung Labian.
Sekolah-sekolah dikunjunginya untuk memberi ceramah motivasi, melaksanakan program-program kesihatan, memberi kaunseling sehinggalah memberi tusyen matematik dan english untuk membantu pelajar bermasalah.
Sehingga kini, beliau terus sebati dengan kerja-kerja sukarela dan turut menggunakan platform sebagai Ketua Cawangan Umno Kampung Sri Hak 1, Tungku untuk tujuan itu.
Lebih dari itu, di luar jangkauan masanya yang sentiasa sibuk Dr Zarina dan suami membuka perniagaan restoran yang menghidangkan makanan sihat.
Dr Zarina berkata idea membuka restoran itu pada peringkat awalnya hanyalah untuk menjual produk dari kebunnya seperti susu segar, yougart, mentega tetapi menyedari pilihan pengguna yang mahukan hidangan makanan sihat kurang di pasaran, mereka mengambil resiko dan cabaran itu.
"Ramai pelanggan terutama pesakit-pesakit yang datang mendapatkan rawatan mengeluh kerana susah mahu mendapatkan produk makanan dan minuman sihat, yang ada semuanya sudah bercampur dengan bahan kimia dan pengawet.
"Memandangkan ladang lembu yang diusahakan semakin bertambah jadi produk berasaskan susu memerlukan pasaran yang membolehkannya dinikmati dengan segar.
"Lagipun, hasil ikan dari kelong juga boleh dihidangkan dengan segar bagi penggemar makanan laut," katanya.
Ketika ditanya mengenai perancangannya di masa akan datang, Dr Zarina mengaitkan apa yang dilakukannya sekarang adalah sebagai membuka langkah, laluan dan pemudah cara kepada orang di sekelilingnya berubah dan berhijrah.
Katanya, berdasarkan sejarah revolusi yang berlaku di abad lalu perubahan minda dituntut demi kepentingan komuniti, keluarga dan ahli keluarga kerana dengan perubahan itulah ianya dapat menjana kemajuan.
"Cabaran globilisasi hari ini dan masa akan datang semakin menuntut kita untuk menilai lebih jauh ke depan maka dengan itu komuniti kita khususnya kaum wanita dan ibu perlu mengubah corak berfikir.
"Kita perlu berubah sejajar dengan keperluan dan kesediaan wanita dan ibu itu keluar dari kotak pemikiran biasa... perlulah dilakukan dengan tekad serta sikap berani menanggung resiko.
"Hal ini penting bagi memastikan generasi akan datang mampu menempatkan diri bersaing di peringkat global, pasaran antarabangsa," katanya.
p/s: Artikel ini saya hasilkan pada 27 FEBRUARY 2017 untuk terbitan rungan Citra Hawa, Utusan Borneo.











0 komen:
Post a Comment