9.6.17

Kenali Lahad Datu Promosikan Lahad Datu



Minggu lalu rakan sewajatan saya di daerah Lahad Datu ini mengisahkan pengalamannya bercuti menikmati percutian di Lembah Danum, sama seperti pengalaman hebat pasangan diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton. Hajat di hati sememangnya saya juga mahu menikmati pengalaman di sana, kalau boleh bermalam, tapi kekangan tugasan dan masa yang hari-hari umpama tidak mencukupi, saya simpan dahulu dalam check list what to do in LD saya.

Selain Lembah Danum, Lahad Datu mempunyai banyak lagi tempat menarik komersil mahupun sekadar mahu melepaskan tekanan kerja atau mengisi masa terluang.  Teringat dua rangkap satu puisi jenaka digubah lalu diangkat menjadi intro lagu.

Ku lari ke hutan ketemu monyet,
ku lari ke pantai ketemu cumi-cumi (sotong)

Dua rangkap puisi ini mempunyai kebenarannya apabila berkunjung Menara Kayangan yang membolehkan pengunjungnya mengalami pengalaman pemandangan 880 meter dari aras laut. Di sini bukan sahaja monyet yang boleh ditemui, tapi pengalaman melalui jalan dalam  hutan tidak akan lengkap tanpa menemui ketam merah atau Geosesarma Aurantium.

Ketam biasanya di laut tapi di sini, ketamnya di atas bukit.

Selepas tragedi berdarah Tanduo, Lahad Datu mula terkenal dalam pelbagai versi dan sesekali berada di luar daerah ada pertanyaan normal dari mereka... Lahad Datu sudah aman? Lahad Datu selamatkah? Lahad Datu pekan koboi?

Untuk kesekian kalinya, saya ingin ulangi... Ya, Lahad Datu aman damai selamat sejahtera dan bebas dari kekacauan mahupun bencana alam.  Ini diperkuat lagi dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan keyakinannya bahawa keadaan di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) lebih selamat berbanding keadaan di ibu negara.  Esszone merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau, yang meliputi 1,733.7 kilometer.

Selain itu, kelibat pelancong warga asing mudah kelihatan di mana-mana di sini dan ini gambaran sebenar Lahad Datu tidak seperti yang digambarkan oleh masyarakat pengguna online yang ada daripadanya, menghabiskan masa menabur spekulasi yang mendatangkan kesan negatif kepada pembangunan negara.

Baru-baru ini, saya menulis berita tentang nasib masyarakat Palauh yang mendapat perhatian serius Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berikutan tindakan segelintir dari mereka yang dikatakan terlibat dalam aktiviti tidak sihat, termasuk penyeludupan barang-barang terlarang dan membawa masuk pendatang tanpa izin yang boleh mengancam keselamatan negara.

Umum tahu bahawa masyarakat Palauh diikhtiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) sebagai kumpulan yang harus dilindungi dan membenarkan mereka mendarat di mana-mana pesisir pantai di seluruh dunia.

Kunjungan rakan wartawan penyiaran kelmarin ke kawasan lapang tepi laut yang menjadi "rumah" mereka di Bandar Wilayah Jasa dikongsikan kisahnya bersama sewaktu tamat tugasan awal pagi kelmarin.

Katanya, mereka mahu membuat rakaman tinjauan namun ianya tetap diteruskan meski ada kisah sedih menyentuh hati mereka.

Hati mana yang tidak sebak apabila melihat seorang wanita tua dari kumpulan Palauh itu terkujur layu di depan mata menanggung sakit umpama menunggu saat mati.

Atapnya hanyalah khemah kecil, alas tubuhnya yang baring hanyalah kotak dan sebahagian badannya sudah menyentuh tanah.

"Dia hanya mampu tadah tangan seolah ingin memberitahu sesuatu namun suaranya sudah tidak jelas kedengaran.  Tiada sesiapun di sisinya dan tiada sesiapa yang memperdulikannya," kata rakan saya.

Selepas siapkan artikel ini saya mahu segera ke sana, mahu menolong yang terdaya kerana rakyat Palestine kita ambil tahu dan tidak berkisah untuk menderma apatah lagi seorang nenek tua yang berjuang dengan ajal.

Tepat jam 4.50 petang, rakan mengirim sms:
Kami di Bandar Wilayah. Makcik tu dah meninggal dunia pagi tadi. Pihak jabatan kebajikan yang uruskan jenazah.

p/s: Nota Wartawan ini saya hasilkan pada 11 Ogos 2014 untuk terbitan rungan Nota Wartawan Utusan Borneo.





Share:

0 komen:

Post a Comment