SAMBUTAN Hari Belia Peringkat Negeri yang diadakan di Kompleks Sukan Ranau yang berakhir semalam telah menghimpunkan lebih lapan ribu belia dari seluruh negeri.
Pengisian programnya bermula Jumaat hingga Ahad dengan pelbagai aktiviti dengan sasaran memberi input terkini dan terbaik untuk golongan sasar, belia.
Pada majlis perasmiannya yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman menyeru belia senantiasa bergiat aktif bagi memberi impak positif pada pembangunan negeri seterusnya negara.
Belia yang mewakili 41 peratus anggaran penduduk negeri akan senantiasa mendapat tempat agar belia berupaya mempertingkatkan penglibatan, pengetahuan baru dan inovasi teknologi bagi merealisasikan matlamat transformasi negara.
Saya amat tertarik dengan tema sambutan hari belia kali ini iaitu "Dari Belia Untuk Belia" yang bagi saya amat bertepatan dengan aspirasi kerajaan mendekati belia dan mengangkatnya ke satu tahap yang tidak lagi di tampuk lama.
Penghargaan dan pengikhtirafan kepada belia yang bergiat aktif dan menyumbang kepada perkembangan belia setempat juga akan menjadi teladan dan motivasi kepada belia lain untuk bersaing secara positif dan mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.
Sejak meninggalkan dunia kewartawanan pada 2001, medan untuk mencurahkan idea dan mengangkat aktiviti belia saya mulakan 29 Januari 2008 melalui penulisan blog.
Saya mendedahkan pembangunan daerah kelahiran saya, Tawau dan menggerakkan kumpulan penulis blog tempatan dan bergabung dalam Tawau Bloggers.
Aktiviti ini menjadi ikutan belia hinggalah kami menerima undangan menulis untuk pelbagai program di Tawau dan di luar daerah.
Aktiviti yang positif sememangnya tidak selalu dianggap positif namun itulah cabaran penulisan ketika bergiat aktif dalam berblog.
Namun kecintaan saya terhadap aktiviti belia tidak berhenti ketika saya mengambil keputusan berhijrah ke daerah Lahad Datu dan bertugas sebagai wartawan.
Saya mula menerokai dan mengenali kumpulan belia di Lahad Datu dan mengisahkan perjalanan aktiviti mereka dalam bentuk pemberitaan dan rencana di akhbar.
Usaha ini mendapat perhatian persatuan belia akar umbi di sini dan saya sering menerima jemputan liputan dalam program-program yang dianjurkan. Ini secara tidak langsung meletakkan saya sebagai wartawan yang dekat dengan pelbagai aktiviti belia di Lahad Datu dan saya senang selesa dengan apa yang saya lakukan.
Setahun berlalu dan koleksi penulisan berkisar kegiatan belia tanpa saya sedari mencecah lebih 50 keratan.
Saya dipanggil untuk menyertai pemilihan Anugerah Kewartawanan Belia Bahasa Melayu dan keputusannya ditentukan panel penilai yang berpengalaman luas dalam bidang ini.
Tiada yang lebih indah dalam pencapaian saya dalam kewartawanan apabila sekali lagi dipanggil untuk menikmati indahnya perasaan apabila pengorbanan menghasilkan berita dan rencana dihargai dan dikhtiraf kerajaan negeri.
Anugerah ini semestinya untuk semua yang tidak pernah berhenti menyokong usaha penulisan saya iaitu ibu bapa dan keluarga saya.
Begitu juga dengan rakan-rakan sekerjaya, rakan-rakan blogger, rakan-rakan belia di Tawau, Semporna, Kunak dan khas untuk belia di Lahad Datu.
Tanpa kepercayaan dan keyakinan serta semangat yang saya peroleh dari kalian tidaklah saya berada di sini.
Kepada Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Tawfiq DSP Abu Bakar Titingan, saya begitu terharu ketika Datuk memperkenalkan saya kepada Ketua Menteri sebagai seorang blogger Tawau dari Tawau Bloggers yang mempunyai semangat penulisan kental dan mempunyai jalan perjuangan untuk belia...
Dari Belia Untuk Belia.
Sekian Nota Wartawan saya buat kali ini, yang saya tulis sebaik sahaja selesai majlis Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri di Kompleks Sukan Ranau.
p/s: Nota Wartawan ini saya hasilkan pada 17 Mei 2014 untuk terbitan rungan Nota Wartawan Utusan Borneo









0 komen:
Post a Comment