9.6.17

Siapa yang anda percaya?


Apakah bezanya mendapat maklumat lebih awal berbanding lewat sikit tapi infonya lebih menyeluruh dan diyakini sumbernya?

Pasti ada yang mahukan kedua-duanya malahsaya juga tidak akan menyalahkan perkembangan malumat yang lebih awal di internet berbanding maklumat dari media cetak dan broadcast.

Namun mutakhir ini sudah wujud sindrom lebih percayakan khabar dari internet berbanding berita dari petugas media di surat khabar, siaran televisyen mahupun radio.

Jadi sindrom inilah yang ingin saya ulas dalam Nota Wartawan saya kali ini.

Saya pernah bertukar pendapat dan bicara dengan salah seorang penulis blog ternama yang pernah membuat Jelajah Media Sosial suatu masa lalu dan saya bertanya kepadanya tentang apakah teknik paling berkesan untuk mempengaruhi kepercayaan pembaca di internet.

Katanya, cara paling berkesan untuk menarik kepercayaan orang ramai adalah "guna kata-kata kesat" dan "dedahkan kelemahan peribadi orang yag disasarkan".

Saya lalu tergamam dan saya beritahunya bahawa walaupun saya boleh menulis tapi untuk membawa budaya berbicara kesat dan mengadu-dombakan cerita tidak benar, saya tidak sanggup dan itu bukan saya.

Menusuk tajam ke minda dijawabnya saya, kamu bukan golongan penulis yang boleh membawa perubahan kerana jenis penulisan seumpama itu sudah menjadi senjata paling kami untuk mencapai matlamat penulisan kami.

Sudah lama kisah itu dan ada kaitannya pada sindrom lebih percaya berita di internet berbanding dari surat khabar, siaran televisyen mahupun radio begitu membimbangkan saya.

Kenapa?
Pada November 2016, Mail Online menyiarkan berita pendakwa raya Chan-jo Jun memfailkan aduan­nya kepada mahkamah di Munich terhadap salah satu media sosial yang melanggar undang-undang Jerman berkaitan ucapan kebencian dan menghasut.

Jun memfailkan aduan kepada pendakwa raya di Bavaria pada September yang menuntut laman media sosial itu mematuhi undang-undang antikebencian de­ngan memadam paparan berunsur perkauman.

Laman media sosial itu didakwa gagal menghalang status berbaur perkauman dan ugutan khasnya semasa kebanjiran pelarian ke Eropah.

Pada Ogos 2014, akhbar Harian Metro menyenaraikan 10 negara yang pernah menyekat penggunaan facebook iaitu Korea Utara, Iran, China, Cuba, Bangladesh, Mesir, Syria, Mauritius, Pakistan dan Vietnam.

Disertakan juga alasan setiap negara-negara itu menyekat penggunaannya yang antaranya kerana berikutan kemaraan pergerakan berhaluan kiri di Iran ketika itu yang disusun melalui online dan China menyekat penggunaan laman sosial pada 2009 selepas demonstrasi aktivis Xinjiang yang dikatakan menentang kerajaan menggunakan facebook untuk berkomunikasi, merancang dan menyusun strategi.

Jika saya melihat perkembangan laman sosial hari ini, ianya bukan sahaja membimbangkan malah telah membawa revolusi pada masyarakat yang menggunakannya untuk matlamat yang negatif.

Maksud saya bukan menjurus pada perkembangan politik yang semakin demam pilihanraya tetapi kesannya pada kepercayaan masyarakat pada sesuatu khabar.

Lihat saja pada isu minyak kenderaan dan minyak masak, ianya menggemparkan semua pihak baik yang mempunyai kepentingan mahupun si pengguna belum matang tapi bertindak "matang" atas talian dengan kata-kata kesat.

Bagi saya, untuk meluahkan marah tidak salah namun biarlah di medium yang betul dan mengekalkan budi santun budaya kita.

Tidak akan porak-poranda dunia komunikasi andai kita bijak menggunakannya dan sudah pasti tidak akan bertimbun aduan salah guna media sosial untuk diselesaikan seandainya kita bijak mendidik generasi muda menggunakannya.

Saya juga turut ingin mengeluh dengan kemunduran daya cerna berfikir di kalangan masyarakat luar bandar yang bolehlah saya katakan sebagai menjadi mangsa ledakan teknologi maklumat.

Buktinya, semasa tragedi Tanduo siapa yang bertindak panik lalu membanjiri jalan keluar dari Lahad Datu menuju ke kawasan yang kononnya selamat.

Sedangkan semua stesen televisyen dan radio malah akhbar-akhbar menyiarkan keadaan sebenar yang berlaku ketika itu.

Siapa yang perlu dipercaya?

p/s: Nota Wartawan ini saya hasilkan pada 24 Mac 2017 untuk terbitan rungan Nota Wartawan Utusan Borneo.


Share:

0 komen:

Post a Comment