10.6.17

Bazar Ramadan D'Perdana Square 2017



BAZAR Ramadan D'Perdana Square di Lahad Datu menempatkan 110 gerai peniaga yang menawarkan pelbagai jenis hidangan samada kuih-muih pelbagai jenis, lauk-pauk pelbagai aneka buat pengunjungnya sepanjang Ramadan ini.

Tapak bazar ini amat popular dengan hidangan makanan yang dipanggang dan aromanya seakan menggamit kedatangan pengunjung kerana kedudukan peniaga bahagian hidangan yang dipanggang diletakkan sederet di bahagian hadapan.

Seorang peniaga sate, Jammaluddin Abdul Rahman, 30, berkata setiap hari sate-sate yang dijualnya mendapat sambut yang amat baik meskipun dia berinaga di bazar itu buat pertama kalinya.

"Sambutan amat baik kerana pelanggan yang pertama kali membeli sate di sini pasti akan datang lagi," katanya yang menghidangkan sate mengikut resepi keluarganya yang berasal dari Tawau.

Mengenai harganya, Jammaluddin menjual sate dengan harga RM1.50 secucuk, sate daging RM1.20 dan sate ayam RM1.00.

Selain sate, kambing golek juga mempunyai pelanggannya sendiri termasuklah Saddam Rafael, 27 yang menurutnya dia ke bazar itu semata-mata kerana mahu membeli kambing golek.

Menurutnya, ramai orang masih tidak mengetahui khasiat memakan daging kambing apatah lagi ianya dipanggang dengan rempah yang tersendiri.

"Sebenarnya, daging kambing mengandungi paras kolestrol dan lemak tepu yang jauh lebih rendah berbanding daging lain, menjadikan ia sebagai pilihan makanan alternatif daging merah terbaik.

"Saya memilih hidangan kambing golek dari bazar ini kerana di sini bersih untuk hidangan  sebagai sumber protein yang mengandungi semua jenis asid amino yang diperlukan tubuh dan kandungan zat besi yang tinggi," katanya.

Peniaga kuih-muih, Beriani Baharuddin, 41, berkata setiap hari dia menjual kuih-muih berlainan jenis antaranya donut, karipap, kuih bom, kuih lapis, kek coklat, kerana pelanggan selalu mencari kuih-kuih tersebut.

"Saya buat kuih-kuih itu kerana ianya hidangan yang biasa saya buat untuk hidangan keluarga dan ianya tidak rumit untuk disediakan dalam kuantiti yang terhad," katanya yang mengutamakan kualiti jualannya agar memberi kepuasan kepada pelanggannya.

Seorang lagi peniaga kuih-muih, Hasna Alfana, 31, berkata dia memilih untuk menjual kuih-muih tradisional Bugis kerana ianya memberi kepuasan tersendiri baginya.

"Kuih-muih tradisional Bugis ini mempunyai pelanggannya yang tersendiri dan tentunya masyarakat di Lahad Datu ini mahu menikmatinya kerana ianya jarang didapati di hari-hari biasa," katanya yang membuat kuih-muih itu dengan bantuan ahli keluarganya.

Hasna berkata, dengan kekangan bekalan minyak masak di pasaran, beliau memilih untuk mengurangkan penggunaannya dengan lebih memilih menyediaan kuih yang dikukus.

Antara kuih-muih yang dijualnya adalah berongko, pisang ijo, pisang tallemek, koci, cendol, serimuka, katirisala dan cendol.

"Saya rasa saya puas hati berniaga di bazar ini kerana selain dapat berniaga saya dapat memperkenalkan kuih-muih tradisi Bugis yang menjadi resepi turun-temurun suku kaum Bugis kepada pelanggan dan juga rakan-rakan yang mengunjungi saya di sini," katanya.

Salah seorang pelanggannya, Aidi Mohd Tahir, 52, berkata setiap kali ke bazar dia pasti mencari kuih kegemarannya iaitu berongko, pisang ijo dan cendol.

"Berbanding di daerah lain, kuih-muihnya meskipun rupanya sama tetapi rasanya berbeza, mungkin kerana resepi dan bahan yang digunakan berbeza... tapi di sini, saya mendapat kuih yang saya hajati, ianya sedap seperti yang pernah emak saya sediakan," katanya.

Bagi Azman Asiman, 42, beliau lebih memilih hidangan nasi briyani samada lauk kambing atau ayam kerana dia selalunya berbuka dengan makan nasi.

Menurutnya, dari internet dia mengetahui tentang salah satu peniaga di bazar itu menjual nasi briyani yang istimewa.

"Hidangan nasi briyaninya unik kerana saya dapat tahu ianya disediakan mengikut resepi asal menggunakan rempah-ratus dari Arab.

"Alhamdulillah saya menemui gerai House Of Briyani dan saya beli lebih untuk dikongsi bersama rakan-rakan saya nanti," katanya.

Ernawati Rafael, 32, seorang kakitangan awam berkata dia sering ke bazar untuk mendapatkan juadah untuk berbuka bersama keluarga.

"Dengan kekangan jalan yang sesak ketika balik ke rumah, saya selalu singgah di bazar membeli kuih-muih dan lauk untuk hidangan berbuka kami sekeluarga," katanya yang akan menghadkan sejumlah wang sahaja untuk dibelanjakan untuk mengelakkan pembaziran.

Dia lebih memilih lauk yang boleh dimakan sehingga lewat malam seperti ikan, sotong atau sayap ayam di samping putu dan kilau.

Bagaimanapun, Ernawati agak kecewa kerana lewat sampai ke bazar itu dan tidak dapat membeli kuih Akok yang dihajatinya.

p/s: Rencana ini saya hasilkan pada 7 Jun 2017 untuk terbitan rungan Bazar Ramadan 2017.







Share:

0 komen:

Post a Comment