10.6.17

Hasnidah gigih hasilkan aneka kuih Golden Recipe Raya


LAHAD DATU: Golden Recipe Raya yang mengeluarkan tujuh aneka biskut giat meningkatkan pengeluarannya berikutan permintaan pelanggan yang menggalakan di pasaran.

Pemiliknya, Hasnindah Alimuddin berkata sebanyak 70 hingga 100 balang dan pek dikeluarkan setiap hari  bagi memenuhi permintaan wakil ejen dan outlet di pasaran dalam dan luar daerah.

"Permintaan pelanggan juga meningkat hasil keberkesanan pemasaran secara online dan Golden Recipe Raya akan memenuhi permintaan pelanggan dengan jaminan kualiti yang terbaik," katanya di sini, kelmarin.

Menurutnya, dengan menggunakan bahan-bahan membuat biskut yang berkualiti beliau juga akan memastikan resepi biskut raya yang diwarisi dari ibunya dikekalkan.

Katanya, ramai pelanggan yang membuat tempahan berulang kerana berpuas hati dengan keunikan rasa produk Golden Recipe Raya selain menggandakan tempahan bagi persiapan hidangan sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Produk Golden Recipe Raya adalah salah satu produk tempatan yang diusahakan secara kecil-kecilan oleh Hasnindah bermula dari rumah sejak tahun lalu.

Dengan mendapat pendedahan sejak mengganggotai Persatuan Komuniti Usahawan Lahad Datu, Hasnindah telah mempersiapkan diri merebut peluang yang lebih besar dan mencabar sebagai usahawan tempatan.

Dengan kekangan peralatan dan modal yang kecil, beliau gigih berusaha sehinggalah mendapat perhatian kerajaan khususnya agensi-agensi yang berkaitan seperti Pertubuhan Peladang Negeri Sabah.

Pengarah Lembaga PPS , Anita Misuari berkata usaha Hasnindah akan terus mendapat perhatian khususnya untuk menempatkan produk beliau dalam program Kiosk Jualan Terus (KJT) Kawasan Lahad Datu.

"Beliau antara usahawan yang dilawati Peladang yang antara lain bertujuan meninjau operasi perniagaan beliau dan juga kesediaan produk ini untuk dipasarkan mengikuti program KJT," katanya.

KJT merupakan program Peladang yang mensasarkan penyediaan outlet-outlet usahawan yang akan memasarkan produk mereka samada produk segar, sudah diproses ataupun produk Industri Kecil dan Sederhana mengikut konsep pusat hentian setempat.

KJT akan dibuka satu ruang tingkat bawah bangunan Peladang Kawasan Lahad Datu yang mensasarkan jualan produk dari pengeluar secara terus kepada pengguna.

p/s: Berita ini saya hasilkan pada 3 Jun 2017 untuk terbitan rungan Ekonomi, Utusan Borneo.





Share:

0 komen:

Post a Comment