10.6.17

LD Legend Busker menghibur ubah presepsi


"30 tahun lalu kami selalu berkumpul dan menyanyi di jambatan Kampung Puyut. Kami di waktu itu merupakan remaja yang melepaskan isi hati melalui muzik, macam curhat dalam dengan bahasa puitis lirik-lirik lagu"

Demikian perakuanBensar Abdul hamid atau Ben, salah seorang anggota kumpulan busker yang tidak asing lagi di daerah Lahad Datu yang memilih nama kumpulan mereka sebagai LD Legend Busker.

Kumpulan LD Legend Busker dianggotai Ben yang bermain gitar bass, Al Fadhir Tulawi atau Fadhir (penyanyi dan gitar kedua), Al Kinar Tulawi sebagai Kinar Highlight (penyanyi), Al Badrin Al Kanta dikenali Bads (gitar utama) dan Richie Jawas atau Rich (Drum dan cajon).

Fadhir mempunyai pengalaman menjadi sebagai artis RTM Sabah semantara Kinar Highlight mempunyai pengalaman sebagai penghibur di hotel-hotel terkemuka seluruh Malaysia.

Mendengar kelunakan suara dan persembahan mereka yang begitu santai, memang tidak dinafikan pemilihan nama itu bersesuaian dengan mereka.

Populiriti mereka tidak siapa pun akan pertikai kerana sejak dulu lagi mereka sering muncul dalam banyak majlis termasuklah majlis memeriahkan majlis perkahwinan, majlis-majlis makan malam rasmi ataupun program-program rasmi sebagai penghibur.

Memiliki kerjaya sendiri, anggota kumpulan ini akan menghabiskan masa mereka dengan membuat persembahan setiap malam Sabtu dan Ahad di Restoran Bismi Bistro, Darvel Bay Plaza mulai jam lapan malam hingga 12 tengah malam.

Konsep busking yang santai dan menghangatkan suasana restoran itu ternyata sering memberi kelainan kerana bukan anggota kumpuan mereka sahaja menyanyi sebaliknya akan mendapat sambutan daripada penyanyi yang mempunyai profail tersendiri dalam industri muzik tanahair.

Amat bertuah rasanya pada malam kunjungan Utusan Borneo ini kami dihiburkan dengan hiburan dari penyanyi Sopiana Jacqueline, seorang penyanyi yang menjuarai program realiti Sabah Idol.

Penyanyi realiti televisyen swasta terkenal Kilauan Emas, Benasil Kundong (Ben Manjari Bah) juga turut pernah menyanyi menceriakan malam minggu pengunjung dengan menyumbangkan lagu-lagu yang menggamit kenangan.

Menurut Ben, kemunculan artis-artis tempatan bukanlah perkara asing bagi kumpulan itu malah persahabatan yang telah terjalin dengan artis-artis tersebut membolehkan mereka serasi dengan lagu yang biasanya mereka nyanyikan.

"Seperti Benasil, dia kami anggap sebagai seorang sahabat yang sejak dulu lagi dan selalu bersama kami, malah pernah melalui zaman remaja kami dan telah membuat kerjasama persembahan bersamanya banyak kali," katanya.

Ben berkata meskipun semua anggota kumpulan itu berasal dari sebuah perkampungan setinggan namun mereka telah membuktikan mereka bukan anak setinggan yang biasa tapi luar biasa.

Menurutnya, kerana mereka berjaya keluar dari kepompong kemiskinan dan desakan hidup susah, mereka sering menyelitkan kisah hidup mereka sebagai perkongsian positif yang  membina.

"Kami menghibur di sini bukan kerana wang apatah lagi mengharapkan simpati tetapi kami mahu membersihkan nama baik Lahad Datu dengan cara sebegini.

"Kami sedar kami perlu memainkan peranan kami sebagai anak jati Lahad Datu yang pernah tercalit dengan kejadian Tanduo.

"Dan dengan menyemarakkan hiburan muzik jalanan inilah kami akan menjadikan bandar ini tidak sepi, tidak menakutkan, bandar ini bernyawa di kala malam kerana muzik kami pastinya akan menawan jiwa yang pastinya akan ketagih lagi untuk persembahan yang selanjutnya minggu depan," jelas Ben.

Menyedari hakikat perjuangan LD Legend Busker, ramai pemimpin menyokong usaha mereka dan turut memberi sokongan, Ketua Pergerakan Wanita Umno Silam, Mizma Appehdullah yang turut berada di restoran itu.

Ketika menemuinya, Mizma berkata dia sering meluangkan masa walaupun sekejap semata-mata untuk mendengar dan melihat persembahan kumpulan busker itu.

"Saya dan mereka umpama adik beradik kerana kami menyimpan kenangan zaman remaja kami bersama, saya juga anak kelahiran Kampung Puyut dan saya berbangga dengan apa yang mereka lakukan dan cuba sampaikan mengikut cara mereka," katanya.

Seorang pengunjung, Hillary Jones yang kini bermastautin di Lahad Datu ketika ditemui berkata jika berkelapangan dia akan ke restoran itu untuk bersantai di hujung minggu.

"Sejak kunjungan saya ke sini satu bulan lalu, saya menyedari mereka ini mempunyai perjuangan yang baik dan saya mahu bersama dalam perjuangan mereka dengan menjayakan  persembahan mereka.

"Saya biasanya akan menyumbangkan sebuah atau dua buah lagu kerana inilah cara yang boleh saya lakukan bersama buskers ini untuk memulihkan keyakinan orang luar tentang Lahad Datu yang sebenarnya selamat, happening sama seperti tempat lain," katanya.

p/s: Artikel ini saya hasilkan pada 22 Januari 2017 untuk terbitan ruangan Hiburan, Utusan Borneo
Share:

0 komen:

Post a Comment